Monday 23 May 2016

Refleksi Praktikum

Semasa menjalani latihan pengajar, guru pelatih telah memilih sebuah sekolah yang terletak di Ipoh iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Pasir Puteh. Guru pelatih dan lima orang rakan praktikum yang lain melapor diri pada hari Isnin bersamaan 6 Julai 2015 pada pukul 7 pagi. Sewaktu tiba di sekolah, kami telah disambut oleh Penolong Kanan 1 sekolah iaitu En. Fazul. Beliau meminta kami menunggu di dalam pejabat sekolah sementara menanti pengetua tiba di sekolah. Tidak lama kemudian, pengetua sampai dan meminta kami semua masuk ke dalam pejabat beliau. Tuan pengetua sekolah iaitu Tuan Haji Mohd Tahir bin Sastro meminta kami memperkenalkan diri dan mengisi nama dalam buku log. Memandangkan hari kami melapor diri ialah hari isnin, sekolah telah mengadakan perhimpunan dan kami perlu mengikuti perhimpunan sebelum meneruskan proses melapor diri. Semasa perhimpunan, tuan pengetua telah memperkenalkan kami sebagai guru pelatih yang akan berpraktikum  selama 16 minggu di sekolah tersebut.

            Selepas perhimpunan, kami diminta untuk masuk ke dalam bilik mesyuarat untuk sesi taklimat bersama pengetua dan penolong kanan 1. Sesi taklimat yang diberikan berkisar tentang latar belakang sekolah, maklumat tentang peraturan sekolah dan tugas-tugas yang akan diberikan kepada kami. Setelah selesai diberikan taklimat, kami dibawa oleh guru kanan sekolah untuk berkenalan dengan guru-guru dan kakitangan sekolah. Kami juga dibawa mengelilingi kawasan sekolah untuk mengenal kawasan sekolah. Pada hari pertama lapor diri, saya belum diberikan jadual mengajar dan pemberitahuan mengenai guru pembimbing juga belum diberikan. Saya diberikan jadual mengajar pada hari kedua latihan mengajar. Pada hari tersebut juga saya telah berjumpa dengan guru pembimbing saya iaitu Puan Siti Aminah. Saya akan menggantikan kelas beliau iaitu kelas 2 Agama 1 seramai 21 orang murid. Manakala kelas kedua yang saya ambil alih ialah kelas 2 Agama 2 seramai 22 orang murid menggantikan Puan Noriah. Selepas itu, saya dan rakan-rakan lain juga diberikan taklimat oleh guru penolong kanan HEM dan guru penolong kanan Ko-kurikulum. Saya juga mula menjalankan pengajaran pada hari kedua praktikum setelah saya mendapat jadual mengajar.


Sepanjang menjalani latihan mengajar di sekolah ini, saya mendapat pelbagai kenangan yang tidak mungkin saya lupakan baik kenangan pahit mahupun kenangan manis. Saya juga memperoleh banyak pengalaman yang dapat mematangkan diri dan memperbaik kelemahan saya.  Melalui penulisan refleksi yang dilakukan, saya dapat menilai segala kelemahan sepanjang saya menjalankan latihan mengajar. Pensyarah penyelia dan guru pembimbing merupakan individu penting yang banyak memberi teguran dan panduan untuk saya memperbaiki kelemahan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.

No comments:

Post a Comment