Semasa menjalani
latihan pengajar, guru pelatih telah memilih sebuah sekolah yang terletak di
Ipoh iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Pasir Puteh. Guru pelatih dan
lima orang rakan praktikum yang lain melapor diri pada hari Isnin bersamaan 6
Julai 2015 pada pukul 7 pagi. Sewaktu tiba di sekolah, kami telah disambut oleh
Penolong Kanan 1 sekolah iaitu En. Fazul. Beliau meminta kami menunggu di dalam
pejabat sekolah sementara menanti pengetua tiba di sekolah. Tidak lama
kemudian, pengetua sampai dan meminta kami semua masuk ke dalam pejabat beliau.
Tuan pengetua sekolah iaitu Tuan Haji Mohd Tahir bin Sastro meminta kami
memperkenalkan diri dan mengisi nama dalam buku log. Memandangkan hari kami
melapor diri ialah hari isnin, sekolah telah mengadakan perhimpunan dan kami
perlu mengikuti perhimpunan sebelum meneruskan proses melapor diri. Semasa
perhimpunan, tuan pengetua telah memperkenalkan kami sebagai guru pelatih yang
akan berpraktikum selama 16 minggu di
sekolah tersebut.
Selepas perhimpunan, kami diminta
untuk masuk ke dalam bilik mesyuarat untuk sesi taklimat bersama pengetua dan
penolong kanan 1. Sesi taklimat yang diberikan berkisar tentang latar belakang
sekolah, maklumat tentang peraturan sekolah dan tugas-tugas yang akan diberikan
kepada kami. Setelah selesai diberikan taklimat, kami dibawa oleh guru kanan
sekolah untuk berkenalan dengan guru-guru dan kakitangan sekolah. Kami juga
dibawa mengelilingi kawasan sekolah untuk mengenal kawasan sekolah. Pada hari
pertama lapor diri, saya belum diberikan jadual mengajar dan pemberitahuan mengenai
guru pembimbing juga belum diberikan. Saya diberikan jadual mengajar pada hari
kedua latihan mengajar. Pada hari tersebut juga saya telah berjumpa dengan guru
pembimbing saya iaitu Puan Siti Aminah. Saya akan menggantikan kelas beliau
iaitu kelas 2 Agama 1 seramai 21 orang murid. Manakala kelas kedua yang saya
ambil alih ialah kelas 2 Agama 2 seramai 22 orang murid menggantikan Puan
Noriah. Selepas itu, saya dan rakan-rakan lain juga diberikan taklimat oleh
guru penolong kanan HEM dan guru penolong kanan Ko-kurikulum. Saya juga mula
menjalankan pengajaran pada hari kedua praktikum setelah saya mendapat jadual
mengajar.
Sepanjang
menjalani latihan mengajar di sekolah ini, saya mendapat pelbagai kenangan yang
tidak mungkin saya lupakan baik kenangan pahit mahupun kenangan manis. Saya
juga memperoleh banyak pengalaman yang dapat mematangkan diri dan memperbaik
kelemahan saya. Melalui penulisan
refleksi yang dilakukan, saya dapat menilai segala kelemahan sepanjang saya
menjalankan latihan mengajar. Pensyarah penyelia dan guru pembimbing merupakan
individu penting yang banyak memberi teguran dan panduan untuk saya memperbaiki
kelemahan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.